Friday, 27 July 2012

Pengantin Sederhana(Fatimah Az-Zahra dan Saidina Ali)




Ketika Nabi Muhammad menikahkan Fatimah dengan Ali bin Abi Talib, beliau mengundang Abu Bakar, Umar, dan Usamah untuk membawakan “persiapan” Fatimah. Mereka bertanya-tanya tentang persiapan yang dikatakan oleh Rasulullah untuk puteri kesayangannya itu. Kemudian, mereka mendapati bahawa persiapan tersebut hanyalah alat penggiling gandum, kulit binatang yang disamak, kendi dan sebuah piring.

Apabila Abu Bakar mengetahui hal itu, dia menangis.“Wahai Rasulullah, apakah ini sahaja persiapan untuk Fatimah?” soalnya.

Nabi Muhammad pun menenangkannya lalu menjawab dengan lembut. “Wahai Abu Bakar, ini sudah cukup bagi orang yang berada di dunia.”

Fatimah yang menjadi pengantin pada hari itu, kemudian keluar daripada rumahnya dengan memakai pakaian yang cukup bagus, tetapi dengan 12 kesan tampalan pada pakaiannya.Tiada langsung solekan, apatah lagi perhiasan yang mahal.

Setelah Fatimah dan Ali dinikahkan, Fatimah senantiasa menggiling gandum dengan tangannya, membaca Al-Quran dengan lidahnya, menafsirkan kitab suci dengan hatinya, dan menangis dengan matanya.

Bagi Rasulullah, membuat majlis yang besar untuk pernikahan puterinya bukanlah satu masalah. Namun baginya, sebagai seorang yang menjadi model bagi umat manusia, “kemegahan” akan majlis pernikahan puterinya bukan ditunjukkan melalui sesuatu yang bersifat duniawi. Rasullullah cuma menunjukkan bahawa kemegahan melalui kesederhanaan dan sifat qanaah itu adalah kekayaan hakiki.

Rasululllah bersabda, “Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman, yang tercermin dalam sifat qanaah”.

Iman, kesederhanaan, dan qanaah adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan. Seseorang beriman, terserlah dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu terhasil dari sifatnya yang qanaah. Qanaah adalah sebuah sikap yang menerima ketentuan Allah dengan sabar; dan menarik diri dari kecintaan pada dunia.

Rasulullah bersabda, “Qanaah adalah harta yang tak akan hilang dan satu simpanan yang tak akan lenyap.”

No comments:

Post a Comment