Di ceritakan bahawa seorang lelaki menemui Ibrahim bin Adham. Ia berkata kepada Ibrahim. “Hai bapa Ishak (Ibrahim). Saya ini sudah menzalimi diri sendiri, maka terangkanlah kepadaku sesuatu yang dapat menginsafkan diriku dan menyelamatkan hatiku.” Ibrahim Adham menjawab “ Jika engkau dapat menerima dan boleh melakukan lima perkara ( yang aku akan katakan) nescaya apa saja kesedapan yang engkau kecapi tidak akan memudharatkan dirimu. Lelaki tersebut itu pun berkata :”Apa dia? Cubalah engkau beritahu wahai bapa Ishak”
Ibrahim Adham menerangkan :
“Pertama : Apabila engkau hendak menderhaka kepada Allah Azzawajalla, maka janganlah engkau makan rezekiNya” Lelaki itu meningkah dan berkata “ Dari sumber mana lagi aku nak makan. Sedangkan segala yang ada di dunia ini rezekiNya.” Ibrahim Adham mencelah: “Wahai pulan, adakah patut dan wajar engkau engkau makan rezeki kurniaNya, kemudian engkau menderhaka kepadaNya! “Tentu tidak.” Jawabnya.
“Kedua : Jika engkau hendak menderhaka kepada Allah maka janganlah engkau menginap di mana-mana pun di atas duniaNya.” Lelaki itu berkata: “Ini lebih hebat lagi dari yang pertama. Kalau Timur, Barat dan antara kedua semuanya adalah kepunyaan Allah maka di manakah aku akan tinggal? Ibrahim Adham mencelah “Hai pulan adakah patut engkau makan rezeki Allah, tinggal di bumiNya kemudian engkau derhaka kepadaNya? “Tidak.” Jawabnya.
“Ketiga : Kalau engkau mahu juga menderhaka sedangkan engkau makan rezeki Allah, dan tinggal di bumiNya, maka carilah tempat yang kira-kira Dia tidak nampak engkau mencabar perintahNya. Kalau engkau temui, nah engkau lakukanlah maksiat tersebut.”
“Keempat : Apabila tiba malaikat maut hendak mencabut nyawamu maka katakanlah kepadanya : “Berikanlah tempoh untuk bertaubat Nasuhah dan untuk beramal soleh kerana Allah.”
“Takkan dia mahu menurut perintahku”
“Ha pulan. Apakah dalam keadaan engkau tidak berdaya menolak maut, untuk mendapat tempoh bertaubat, dan engkau faham betul bahawa kalau maut datang engkau tidak berdaya menolak maut, untuk mendapatkan tempoh taubat, dan engkau faham betul kalau maut datang engkau tidak di beri tempoh maka dalam keadaan begitu engkau masih mengharapkan engkau boleh selamat (dengan maksiatmu?)
“Kelima : Apabila datang Malaikat Zabaniah pada hari qiamat hendak membawamu masuk neraka maka janganlah engkau pergi bersamanya!”
“Sudah tentu mereka tidak akan biarkan aku, atau menerima perintahku.”
Kata Ibrahim Adham :” Kalau begitu bagaimana engkau harap engkau boleh selamat?”
Lelaki itu pun berkata. “Wahai Ibrahim cukuplah, cukuplah!”
“Saya minta ampun kepada Allah dan saya bertaubat kepadaNya”
Lelaki tersebut pun akhirnya ikut beribadah bersama Ibrahim Adham hingga mereka di pisahkan oleh ajal masing-masing.
Pengajaran yang boleh kita ambil dari kesah di atas bahawa kita hendaklah sentasa mengawasi setiap saat perjalanan hidup kita supaya kita tidak melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah s.w.t. Alangkah kerdilnya jiwa ini berbanding nikmat dan rahmat yang telah di berikan Allah s.w.t kepada kita, supaya kita sentiasa bersyukur dan patuh segala perintah dan suruhanNya.
No comments:
Post a Comment